[SEDIH] “Patutlah Tak Pandai Pakai Tudung” – Kisah Seorang Ayah Tunggal Terpaksa Menjaga Anak-anaknya Tanpa Sentuhan Seorang Isteri…

Tahun lepas, ada seorang murid tahun satu yang sangat pendiam. Perempuan. Aku perasan tudung dia selalu tutup dahi. Macam tak pandai pakai tudung. Baju pun selalu comot.

Tahun ini, dia masih tidak pandai pakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tapi dia mendiamkan diri sahaja.

Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman. Ada adik lelaki di tahun satu. Adik dia ini sangat aktif. Hyperaktif aku rasa. Memang langsung tak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan.

Pakaian adik dia pun sama juga. Tidak terurus dan selalu comot.

Dua hari lepas, adik dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati.

Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. Mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna.

Hari ini, selepas habis kelas pertama ada pengawas datang menjemputku ke pejabat. Katanya pentadbir panggil. Aku dah agak, pasti si ayah murid itu telah datang.

Dengan tenang aku terus ke pejabat. Di luar pintu pejabat, ada sepasang kasut lusuh. Nampak comot dengan selut dan kotoran.

‘ Ini kasut orang kerja buruh,’ getus hati aku.

Sebaik masuk, kelihatan lelaki lewat 40an duduk bersama barisan pentadbir. Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju.

Kulitnya gelap. Nampak jelas kerjanya pasti dibawah terik mentari. Tangannya kasar dan kotor tanda kerja berat.

Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul disebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya. Tidak sesekali aku merasa geli atau membuat muka tidak selesa walau bau badannya tidak sewangi orang kerja pejabat.

Aku tidak mahu dia resah dan rasa bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya. Sikap budak, memang begitu. Namun kami ada minta dia bawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.

Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin. Sangat aktif hingga sukar dikawal.

Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut. Dia terima dengan tenang, dan dia pun tahu anak dia memang tidak terkawal. Dia berjanji akan bawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin.

Bila disahkan, anak dia boleh masuk kelas pemulihan. Kelas yang layak dan sepatutnya anak itu duduk dan belajar. Lagi pun, murid pendidikan khas ini ada elaun.

Sebelum dia beredar, kami bagitahu kerosakan yang dibuat anaknya perlu diganti. Dengan serba salah dia cakap,

“Cikgu. Boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya.”

Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika. Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini. Tapi masih ada yang perlu tunggu gaji.

Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu.

Aku iringi setiap langkah dia ke motor buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya.

“Abang kerja kat mana?”

“Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang.”

Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat. Dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara.

“Rumah abang kat mana? Isteri kerja apa? Anak berapa orang?” soalku bertalu-talu.

“Rumah saya di Batu 5. Anak saya empat. Yang paling kecil, kembar dua orang duduk dengan isteri saya. Yang sulung tahun dua dan tahun satu ini tinggal dengan saya. Dah tiga tahun kami berpisah,” balasnya tenang.

Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku minta dia hubungi aku terus kalau ada apa-apa. Nombor telefon aku tinggalkan, dan dia berlalu pergi.

Berlalu pergi dibawah teriknya sinar mentari untuk mencari sesuap rezeki.

Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.

Ayah yang kerja buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya dah cukup elok.

Pakaian patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah.

Kelu. Aku kelu sebenarnya.

Terharu. Aku sangat terharu melihat pengorbanan seorang bapa. Jika aku ditempat dia, aku pun tidak tahu apa aku mampu menjaga anak aku sebaik dia.

Makan minum, sakit demam, duit belanja, basuh pakaian dan segala urusan rumah tangga seorang diri. Menguruskan anak bukan mudah. Tambah-tambah bagi kaum lelaki.

Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati,

‘Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti. Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu.’

Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul.

Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa.

Kerana bangku pecah semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.

Jangan lah kita terus menghakimi seseorang itu. Selidik terlebih dahulu sebelum menilai.

Kredit: Fb Mohd Fadly Sha

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*