“Kekasih Gelap” Punca Anak Tikam Bapa Sampai Mati.

Didakwa ada kekasih gelap, bapa mati ditikam anak.

Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan akibat tikaman di dada kiri.

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mati dipercayai ditikam anak remajanya yang dikatakan mendapat tahu bapa kandungnya mempunyai wanita simpanan dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Skudai, kira-kira 15km dari sini, hari ini.

Mangsa, seorang penganggur berusia 45 tahun, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan akibat tikaman di dada kiri di ruang tamu kediamannya pada kira-kira pukul 11 pagi.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamad berkata polis menahan anak lelaki mangsa berusia 17 tahun, isteri mangsa berusia 40 tahun dan rakan anak mereka di sekitar taman perumahan itu.

Beliau berkata polis sedang memburu seorang lagi rakan anak lelaki mangsa bagi membantu siasatan.

“Motif kejadian dipercayai akibat isteri yang cemburu kerana mangsa dikatakan mempunyai wanita simpanan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noor Hashim berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan awal, terdapat titisan darah dari bilik utama hingga tempat mangsa ditemukan.

“Mangsa dipercayai tidur di bilik utama dan terdapat kesan pergelutan di bilik utama di mana rak baju terjatuh dan katil berselerak selain tiada barang yang hilang dan tidak ada kesan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat.

— BERNAMA

Lain pula nasib si ibu ini…

4 anak mati sekali gus, namun selepas 5 minggu wanita ini masih tidak tahu.

Seorang ibu kehilangan empat orang anaknya sekali gus dalam insiden serangan api pada 11 Disember 2017 di Salford, Greater, Manchester. -Foto Daily Mail

MANCHESTER: Tiada siapa yang sanggup menerima khabar kehilangan seseorang yang tersayang. Jika seorang pun deritanya tidak tertanggung, apatah lagi untuk menerima khabar kehilangan empat orang anak dalam sekelip mata.

Namun itulah nasib seorang ibu yang kehilangan empat orang anaknya sekali gus selepas serangan api yang dahsyat pada 11 Disember 2017 di Salford, Greater, Manchester.

Michelle Pearson, 36 tahun, masih lagi tidak mengetahui insiden malang membabitkan empat anaknya itu setelah koma akibat kecederaan serius ketika serangan api tersebut.

Empat anaknya yang maut dikenal pasti sebagai Demi Pearson, 14 tahun; Brandon, 8 tahun; Lacie, 7 tahun; dan Lia, 3 tahun. Kesemuanya meninggal dunia selepas rumah mereka terbakar.

Seorang lagi anak lelaki Michelle yang berusia 16 tahun bagaimanapun terselamat setelah sempat melompat keluar dari tingkap rumah ketika kebakaran.

Kejadian dipercayai tercetus apabila berlaku pergaduhan antara beberapa kumpulan jalanan menyebabkan beberapa bom petrol dilempar ke dalam rumah keluarga berkenaan, lapor portal Daily Mail.

Sementara itu, bapa saudara Michelle telah meminta bantuan orang ramai untuk membantu mengumpul dana buat pengebumian mangsa melalui laman GoFundMe. Kutipan dana setakat berita ini ditulis mencecah £23,445 (RM92767.18).

Sumber Awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*