‘Maaf saya tersalah orang…’ Insiden Di Jalan Wakaf Mek Zainab

‘Maaf saya tersalah orang…’ Insiden Di Jalan Wakaf Mek Zainab

KELUARGA tiga beranak yang mati dibunuh di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, bulan lalu memohon maaf susulan penularan wajah lelaki disangka suspek pembunuhan.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat kepada Khong Krasim Eh Chong, 30, dan keluarganya selepas gambar lelaki itu yang dikatakan membunuh tiga beranak terbabit tersebar di Facebook.

Pada 2.30 petang, 15 November lalu, Kha Eng Ni, 42, isterinya, Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, ditikam dan dihentak dengan tukul hingga mati, manakala seorang anak perempuan mereka cedera.

Adik Eng Ni, Kha Leng Siew, 33, berkata, dia tidak sengaja memuat naik gambar Khong Krasim dengan keterangan suspek pembunuhan ahli keluarga sejurus kejadian berlaku.

“Saya akui kesilapan itu dan ia dilakukan tidak sengaja kerana kami terlalu emosi dan takut dengan kejadian berlaku.

“Ia dimuat naik tanpa niat (mengaibkan Khong Krasim) dan tergesa-gesa kerana wajahnya seiras dengan suspek sebenar yang diumumkan polis (Sharat Eh Wan@Pot,31).

“Saya kemudian memadamkan gambar itu segera, malangnya ia sudah viral sehingga mengejutkan keluarga Khong Krasim,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Sidang media itu dihadiri ahli keluarganya dan Khong Krasim sekeluarga bagi menjelaskan perkara sebenar.

Leng Siew berkata, dia dan keluarganya sudah menemui isteri Khong Krasim untuk memohon maaf dan menjelaskan hal berkenaan, namun hari ini mereka sepakat buat permohonan maaf terbuka.

Dia juga mendesak orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung suspek yang membunuh ahli keluarganya atau mengaitkan Khong Krasim.

“Serahkan semuanya kepada polis untuk lakukan siasatan, malah saya difahamkan Sharat yang disyaki suspek utama masih diburu,” katanya.

Sementara itu, kakak Khong Krasim, Thassni Eh Chong, 36, yang mewakili adiknya berkata, mereka sekeluarga sudah memaafkan keluarga itu.

Menurutnya, mereka akui kekeliruan berlaku dipengaruhi emosi keluarga si mati dan adiknya juga sudah membuat laporan polis pada 6.30 petang, 15 November susulan hal itu.

“Memang kami terkejut malah ramai kenalan bertanya sama ada benar. Apabila diterangkan mereka faham, cuma kita jelaskan untuk pastikan masyarakat tidak buat cerita lagi.

“Kami pun sudah maafkan keluarga Kha,” katanya yang mempunyai pertalian saudara dengan si mati.

Sumber : HarianMetro

Kronologi :

17th Nov 2017

TIGA beranak yang dibunuh di Taman Bahagia, Kota Bharu, kelmarin, selamat disemadikan di tanah perkuburan Kampung Merabang, Bachok, hari ini.

Jasad mendiang Kha Eng Ni, 42, isterinya, Chua Joo Seok, 37, dan anak mereka, Kha Zee Hanz, 13, dikebumikan pada 12.15 tengah hari di tanah milik mereka sendiri.

Terdahulu mendiang disembahyangkan di rumah mereka di Kampung Balai, Perupok, Bachok.

Ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada tiga mangsa berkenaan.

Turut hadir di majlis berkenaan, tiga anak mendiang iaitu anak sulung, Kha Xing Fei, 19; Kha Xing Rhuu, 15, dan Kha Xiang Shyen, 8.

Mereka kelihatan sebak dan tidak menahan kesedihan terutama anak bongsu.

Lebih 200 termasuk ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung menghadiri majlis itu sebelum perarakan ke tanah perkuburan pada 11.50 pagi.

Dalam kejadian Rabu lalu, Kha Eng Ni, 42; isterinya, Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, maut. Manakala anak keduanya, Kha Xing Rhuu, 15, cedera di kepala dan lebam di bahu kanan akibat dihentak dengan tukul besi.

Polis sudah mengenal pasti pekerja mangsa sebagai suspek utama kes bunuh ini dan pasukan khas ditubuhkan bagi menjejak lelaki berusia 31 tahun itu.

16th Nov 2017

“JANGAN buat! Jangan buat!” Demikian rayuan Kha Xing Rhuu, 15, terhadap suspek bunuh ibu bapa dan adiknya di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Xing Rhuu cedera di kepala dan lebam di bahu kanan akibat dihentak dengan tukul besi dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Mereka yang maut adalah ayahnya, Kha Eng Ni, 42; ibunya Chua Joo Seok, 37, dan adik lelakinya, Kha Zee Hanz, 13.

Xing Rhuu berkata, ketika kejadian dia baru pulang dari sekolah bersama adiknya, Zee Hanz.

Katanya, secara tiba-tiba pekerja bapanya dikenali Sharat

keluar dari rumah dan mengarahkan adiknya mengambil fail di van.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, saya terkejut melihat ayah terbaring depan pintu rumah dalam keadaan berlumuran darah.

“Saya terus hubungi kawan dan ternampak adik sedang bergelut dengan Sharat sebelum dia menghentak belakang kepala adik dengan tukul besi.

“Selepas itu, dia terus menyerang saya, dan saya sempat merayu beberapa kali supaya tidak cederakan namun dia tetap menghentak tukul besi itu di kepala sebelum melarikan diri.

“Hanya selepas kejadian saya sedar adik perempuan Kha Xiang Shyen, 8, terselamat kerana bersembunyi di bawah kerusi di dalam rumah” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, selepas itu, jiran yang tinggal di kawasan berhampiran membantu membawanya ke hospital.

Katanya, akibat kejadian itu, dia menerima dua jahitan di kepala dan lebam di bahu kanan.

“Hari ini, saya dibenarkan pulang untuk menghadiri upacara pengebumian ibu, bapa dan adik di Kampung Balai, Bachok.

“Saya perlu kembali ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Ditanya mengenai Sharat, dia berkata, hubungan lelaki itu dengan keluarga sangat rapat seperti adik-beradik.

“Dia sudah bekerja dengan bapa selama lebih tiga tahun dan saya tidak sangka kejadian ini berlaku kerana tiada perbalahan berlaku sebelum ini.

“Saya sendiri tidak pasti motif kejadian dan berharap polis dapat jalankan siasatan lanjut,” katanya.

Kejadian itu turut disedari penduduk yang melalui kawasan terbabit dan melihat suspek melarikan diri bersama kenderaan jenis pikap milik mangsa.

Polis sudah mengenal pasti suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh ini dan pasukan khas ditubuhkan bagi menjejak lelaki berusia 31 tahun itu.

16th Nov 2017

POLIS Kelantan sudah mengenal pasti suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh tiga beranak di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, suspek dikenal pasti sebagai Sharat Eh Wan @ Pot, 31, yang juga pekerja mangsa sejak tiga tahun lalu.

Katanya, usaha memburu suspek yang berasal dari Kampung Jubakar Darat, Tumpat sedang giat dijalankan.

“Kita percaya penangkapan suspek dapat membantu selesaikan kes ini.

” Oleh itu orang ramai yang memiliki maklumat diminta terus berhubung dengan balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

” Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan angkara dendam, tiga beranak maut, manakala seorang lagi kritikal selepas ditikam dengan pisau dan dihentak dengan tukul serta besi di rumah di Taman Bahagia.

Dalam kejadian 2.30 petang itu mereka yang maut adalah Kha Eng Ni, 42; isterinya Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

Sementara itu, anak perempuan, Kha Xing Rhuu, 15, parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Kejadian itu disedari penduduk yang melalui kawasan terbabit dan melihat suspek melarikan diri bersama kenderaan jenis pikap milik mangsa.

15th Nov 2017

ANGKARA dendam, tiga beranak maut, manakala seorang lagi kritikal selepas ditikam dengan pisau dan dihentak dengan tukul serta besi di rumah di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu.

Kejadian 2.30 petang tadi dipercayai dilakukan oleh lelaki yang dikenali keluarga berkenaan.

Mereka yang maut adalah Kha Eng Ni, 42; isterinya Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

Sementara itu, anak perempuan, Kha Xing Rhuu, 15, parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata, mangsa pertama, Eng Ni ditemui dalam keadaan tertiarap dekat pintu rumah dengan tiga kesan tikaman di dada.

“Dua lagi mangsa iaitu isterinya ditemui di dapur dalam keadaan terduduk dengan kesan tikaman pada badan dan anak lelaki di tengah rumah dengan kecederaan di belakang leher dipercayai dihentak dengan tukul.

“Seorang lagi mangsa iaitu anak perempuan dilapor kritikal dan masih menerima rawatan. Siasatan awal dapati suspek menggunakan senjata jenis pisau, tukul dan besi yang terdapat di dalam rumah berkenaan.

“Mangsa berasal dari Bachok dikatakan ke rumah itu yang dijadikan stor penyimpanan barang untuk membuat audit sebelum diserang suspek dipercayai pekerja mereka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mempunyai perniagaan menjual barang perkakas dan siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan dendam.

Menurutnya, kejadian itu disedari penduduk yang melalui kawasan terbabit dan melihat suspek melarikan diri bersama kenderaan jenis pikap milik mangsa.

“Kita masih mengesan senjata digunakan suspek dan mengambil kesan darah pada tingkap rumah untuk siasatan,” katanya

Din berkata, usaha memburu suspek giat dilakukan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, abang mangsa berusia 50-an yang enggan dikenali berkata, mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan ahli keluarga.

“Saya segera ke tempat kejadian dan melihat adik perempuan saya mati bersama suami dan anaknya.

“Kehilangan mereka sangat mendukacitakan kami dan mahu pelaku itu segera ditangkap serta terima balasan sewajarnya,” katanya.

Sumber : Thanks to HarianMetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*