“Ah Long” Di Bunuh Remaja Kerana 19 Tahun Hutang??!!

(Diselitkan 4 Cerita Benar “Ah Long”)

Penjual ikan ditahan kes bunuh ah long

Masalah ekonomi yang merudum dan kekangan kewangan yang dialami masyarakat masa kini telah memaksa sesetengah daripada individu untuk berhutang. Kalau berhutang dengan saluran yang betul seperti membuat pinjaman bank dan lain-lain itu tak apalah. Tapi kalau sampai sudah berhutang dengan ah long… ini masalah serius!

Menurut Berita Harian, akibat tertekan diburu ah long kerana gagal menjelaskan hutang-hutangnya, seorang lelaki telah bertindak gila dengan membunuh pengutip hutang tersebut pada 4 Disember lalu.

Dalam kejadian yang berlaku di kawasan Taman Arked, Sungai Petani, Kedah, Muhammad Amirul Khairol Nizam yang baru berusia 19 tahun telah menikam mangsa sehingga mati antara jam 2.30 hingga 3.30 petang.

Dia yang bekerja sebagai penjual ikan telah berhutang dengan mangsa, Liu Chee Wei, 25, sebanyak RM2,000 dan gagal menjelaskan hutangnya apabila terpaksa membayar amaun sebanyak RM26 sehari.

Semasa kejadian berlaku, mangsa dan suspek dikatakan sedang berbincang mengenai masalah pembayaran hutang tersebut sebelum mereka berdua bergelut dan suspek menikam mangsa di dada. Mayat Liu kemudian ditemui dengan kesan tikaman di lorong belakang kawasan perumahan Taman Arked.

Manakala kenderaan mangsa pula telah ditemui berada di belakang semak iaitu beberapa kilometer dari tempat kejadian. Pun begitu, suspek kemudian memutuskan untuk menyerah diri dua hari selepas kejadian berlaku akibat sedar akan kesalahannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

Tertuduh kini berhadapan dengan dakwaan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Muhammad Amirul juga tidak dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah dan laporan bedah siasat serta kimia akan diserahkan pada 21 Februari tahun hadapan.

Sumber : BH

Bapa bunuh anak, gantung diri disyaki diganggu ah long
21 Nov 2017

Seorang bapa yang disyaki membunuh ketiga-tiga anaknya dan menggantung diri di Sungai Petani semalam dipercayai melakukan perbuatan itu akibat gangguan daripada ah long, lapor akhbar harian Tamil, Makkal Osai hari ini.

Terdahulu dilaporkan bahawa S Sivarau, 49, seorang kontraktor, menghadapi masalah kewangan.

Sivarau ditemui di bilik atas rumah dua tingkat di Perdana Heights, Amanjaya, manakala anak perempuannya Yamuna Sri,8 serta dua anak lelaki Raghuram Rau, 6 dan Sashvin Rau,5 ditemui mati di katil dalam bilik yang sama, dipercayai ditekup dengan bantal.

Isteri Sivarau, V Kamini, juga menggantung diri di bilik yang sama, tiga minggu lalu.

Ibu Kamini, S Punitha, mengatakan dia tinggal di rumah dengan menantunya sejak anak perempuannya membunuh diri untuk membantu menjaga anak-anaknya.

“Kali terakhir saya temui mereka semasa makan malam pada hari Ahad dan selepas itu, dia pergi ke biliknya di tingkat atas.

“Sekitar pukul 5 pagi semalam, saya mendengar cucu saya menjerit dan ketika saya tanya mengapa, Sivarau kata dia hanya mengalami mimpi buruk dan semuanya baik-baik saja,” kata Punitha.

Tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk, dia melakukan kerja-kerja rumah seperti biasa dan hanya mengetahui kejadian itu selepas mereka tidak turun untuk makan tengah hari.

Akhbar itu melaporkan bahawa siasatan awal mendapati gangguan dari ah long mungkin menjadi sebab mengapa Sivarau mengambil tindakan drastik sedemikian.

Serupa kejadian di Johor Bahru

Kejadian itu serupa dengan yang berlaku di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru pada 6 Oktober lalu di mana seroang peniaga membunuh isterinya dan dua anaknya, sebelum membunuh diri.

R Pubalan, 52, ditemui tergantung dengan kain di atas siling dalam bilik tidur rumah teres dua tingkat.

Manakala isterinya, P Jeya, 46, ditemui mati di atas katil di ruang tamu di tingkat bawah. Dia dikatakan menghadapi penyakit buah pinggang untuk tempoh masa yang lama dan menjalani hemodialisis.

Anak-anak pasangan terbabit, P Sharveen, 14 dan Krishaa Priteena, 9 didapati terbaring di bilik tidur lain dipercayai akibat dicekik.

Pubalan juga dilaporkan menghadapi masalah kewangan dan perniagaan serta tidak mampu menanggung perbelanjaan rawatan isterinya.

Malay Mail melaporkan tiga hari sebelum kejadian, Pubalan dipercayai telah diganggu oleh ah long.

Sumber : Malaysiakini

Ah Long guna nombor telefon penagih, pendatang asing
26 Oct 2017,

Pihak polis percaya Ah Long menggunakan nombor telefon penagih dan pendatang asing agar mereka sukar dikesan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Abdul Rani Alias berkata hasil siasatan yang dijalankan mendapati nombor telefon yang dipamerkan pada kain rentang atau iklan pinjaman bukan milik sebenar Ah Long selain ia tidak didaftar mengikut prosedur yang betul.

“Mereka menggunakan identiti orang lain, itu sebabnya kita tidak dapat mengesan dengan lebih terperinci pemilik sebenar nombor telefon itu,” katanya dalam sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Sungai Senam di Ipoh hari ini.

Sementara itu beliau berkata pihak polis menahan 68 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan Ah Long bagi tempoh Januari sehingga kini.

Bagi tahun lalu pula, sebanyak 53 individu telah ditangkap dan 120 kes telah disiasat, katanya.

Abdul Rani berkata dalam operasi yang diadakan selama tiga hari bermula Selasa lepas dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh, sebanyak 6,010 keping kain rentang yang mempamerkan iklan pinjaman wang tanpa lesen ditanggalkan di sekitar Sungai Senam, Pasir Puteh, Bercham, Kampung Rapat dan Ampang Baru.

– Bernama

‘Penyewa lari, warga emas jadi mangsa Ah Long’
16 Aug 2017

Seorang warga emas terpaksa berhadapan dengan gangguan dan ugutan daripada Ah Long hampir setiap malam walaupun dia tidak pernah meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang haram itu.

Mangsa wanita berusia 71 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hua, seolah-olah dijadikan kambing hitam bila Ah Long berkenaan gagal mendapatkan bayaran balik pinjaman dari peminjam sebenar, yang kebetulan pernah menyewa rumah wanita itu.

Hua yang menetap di Taman Daya di Johor Bahru menyewakan rumahnya kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Wong’ berusia 38 tahun.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak mengsyaki apa-apa selepas penyewa rumahnya menghilangkan diri dan hanya mengetahui perkara sebenar selepas menerima surat ugutan ditampal di hadapan rumahnya Jun lalu.

“Terdapat perkataan ‘hutang duit bayar duit’ pada kertas berkenaan yang diletakkan di hadapan pintu pagar rumah saya.
“Baru-baru ini rumah saya disimbah dengan cat merah dan saya kini berasa tidak selamat untuk tinggal di rumah saya.

“Kami dimaklumkan bahawa penyewa rumah berkenaan telah membuat pinjaman kepada Ah Long pada jumlah yang besar sebelum bertindak melarikan diri dan menggunakan alamat rumah kami ‘sebagai jalan keluar,” kata Hua ketika ditemui pemberita semalam.

Hua yang tinggal bersama dua orang anak lelakinya juga mendakwa keluarganya kini dihantui dengan gangguan Ah Long hampir setiap malam yang datang membuat kecoh di hadapan rumahnya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Negeri Johor, Koo Shiaw Lee berkata pihaknya kini sedang berusaha menjejaki bekas penyewa rumah mangsa itu selain meminta bantuan daripada pihak berkuasa.

“Saya telah menghantar satu surat permohonan kepada pihak Polis Diraja Malaysia berkaitan kes ini dengan harapan ia dapat diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Selain itu, dua laporan polis telah dibuat mengenai kes itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

– Bernama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*