UPDATE!! 3 mat rempit direman 4 hari

TAIPING: Tiga ‘mat rempit’ yang dipercayai membelasah seorang pemandu ambulans sehingga menerima empat jahitan berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, awal pagi kelmarin, direman empat hari bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata ketiga-tiga suspek yang berusia 17 hingga 20 tahun diserahkan oleh keluarga masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, malam tadi.

“Bagi kes pukul pemandu ambulans, polis sudah membuat tangkapan lewat malam tadi seramai tiga remaja.

“Pagi ini, ketiga-tiga tangkapan dibawa ke mahkamah untuk direman dan perintah reman berjaya diperoleh selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razlam berkata, seorang daripada remaja terbabit masih bersekolah di Bagan Serai, manakala dua lagi sudah bekerja.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, polis masih mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

BH Online sebelum ini melaporkan seorang pemandu ambulans menerima empat jahitan di kening akibat ditumbuk kumpulan remaja terbabit selepas menegur perbuatan mereka berlumba haram serta meminta mereka memberi laluan kepada ambulans.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 pagi berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, awal pagi kelmarin yang turut mengakibatkan seorang jururawat wanita ditendang kumpulan mat rempit itu.

Thanks to BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*