Gara-Gara Curi Duit Datuk, Remaja Mati Dipukul…

MELAKA – Polis tidak menolak kemungkinan dakwaan kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, M. Anurasalam yang tular dalam media sosial sejak awal bulan ini dipercayai dipukul kerana mencuri wang milik datuknya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ia berdasarkan pengakuan lisan awal tiga suspek lelaki, berusia antara 32 dan 38 tahun yang direman sejak 8 Disember lepas.

“Ketiga-tiga suspek mengaku terlibat memukul mangsa kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan pelajar tingkatan empat itu yang didakwa mencuri sejumlah wang milik datuknya,” katanya kepada pemberita selepas sesi Latih Amal Percubaan bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bertindak memukul remaja tersebut di sebuah bengkel di Krubong di sini sebagai tindakan memberi pengajaran, namun tidak menyangka ia bertukar menjadi tragedi.

Katanya, pihaknya juga percaya dua individu yang mendakwa menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah stesen bas di Ayer Keroh adalah antara suspek yang direman.

Afzanizar berkata, tempoh reman bagi suspek pertama berusia 35 tahun yang berakhir 14 Disember lepas disambung tujuh hari hingga 21 Disember, manakala suspek kedua dan ketiga, masing-masing berumur 32 dan 38 tahun disambung reman hingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan satu klip video tular sejak awal Disember ini, memaparkan mangsa dari Tangkak, Johor dalam keadaan tidak berbaju, dipukul beberapa individu menggunakan getah paip.

Remaja itu yang didakwa ditemukan dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri di sebuah perhentian bas di Ayer Keroh oleh dua individu itu dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menerima bantuan pernafasan daripada pegawai perubatan.

Sementara itu beliau berkata, sejumlah 45 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam latihan amal yang bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota dalam menghadapi tugasan sebenar ketika PRU14 nanti.

Beliau berkata latihan tersebut akan diteruskan hingga malam ini di beberapa lokasi sekitar negeri dan orang ramai dinasihatkan agar usah gusar sekiranya terserempak dengan situasi itu. – Bernama / SH

Sinambungan Kes Bunuh 4 Sekeluarga – Selesai.

KUALA SELANGOR – Polis percaya kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Rabu lepas, berjaya diselesaikan dengan penahanan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata suspek berusia 38 tahun, yang merupakan OKU pekak dan bisu, ditahan di sebuah rumah kedai pada 1 pagi tadi.

Suspek direman selama seminggu bermula hari ini.

“Sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menyerbu rumah kedai itu berdasarkan maklumat risikan bahawa suspek menetap di situ dan telah menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

“Soal siasat awal dijalankan dan mendapati suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah, mengaku terlibat dalam kes ini. Lelaki itu yang bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong merupakan teman lelaki kepada anak perempuan bongsu mangsa berumur 30 tahun yang juga OKU pekak dan bisu,” katanya kepada pemberita.

Mazlan berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Mohd Asri Abd Wahab dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah itu menggantikan Supt Ruslan Abdullah yang bersara wajib.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa Chia Tee Nang, 73; isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9, serta Chia Yuan Bin, 3, dipercayai dibunuh sebelum dibakar di kediaman mereka.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurut Mazlan, berdasarkan siasatan awal, motif kejadian disebabkan masalah kewangan seperti hutang dan berlaku pertelingkahan di rumah mangsa sebelum kejadian.

“Kami percaya suspek bertindak bersendirian dalam kes ini, jadi kami percaya kes ini telah berjaya diselesaikan.

“Mengenai punca sebenar kematian keempat-empat mangsa, kami masih menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital, tidak boleh putuskan lagi sama ada mangsa dibunuh sebelum dibakar,” katanya. – Bernama / SH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*