Geng kangkang diburu….

Geng kangkang diburu

Kegiatan geng kangkang bukan sahaja berlaku di Dungun tetapi mereka turut bergerak di seluruh semenanjung.

DUNGUN – Tiga suspek wanita yang sebelum ini pernah tular apabila menjadikan premis farmasi sebagai sasaran untuk mencuri ubat-ubatan berharga diburu polis.

Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah farmasi di Dungun mengalami kerugian hampir RM500 apabila tiga suspek berbangsa India berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai menggunakan modus operandi tersendiri telah membawa lari dua jenis ubat.

Modes operandi kangkang atau menyembunyikan ubat-ubatan yang dicuri di celah kangkang dilakukan suspek ketika menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

Pemilik farmasi, Nor Amizah Ismail, 32, berkata, sewaktu kejadian dia berada di ruangan pejabat sebelum terdengar bunyi bising dan keluar ke ruangan farmasi untuk melihat apa yang terjadi.

Menurutnya, ketika keluar didapati tiga wanita India berada di situ dan disyaki dua daripadanya pernah menjadi viral kerana kejadian curi di farmasi.

Status mengenai kegiatan suspek yang tular di media sosial.

“Saya pelik dengar bunyi bising dekat kedai dan terus keluar dari pejabat. Sebelum ini saya dah dimaklumkan tentang kejadian tersebut di laman sosial dan bila nampak mereka saya dah syak sesuatu.

“Saya terus pergi ke arah mereka (suspek) dan bila tengok saya, mereka resah dan terus bayar beberapa barangan sebelum keluar dengan tergesa-gesa,” katanya.

Katanya, apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dia lebih yakin dengan apa yang pernah diviralkan di laman sosial.

“Selepas mereka keluar, saya terus memeriksa beberapa barangan dan mendapati empat ubat-ubatan sampingan yang bernilai hampir RM500 sudah dilarikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian itu dan usaha memburu suspek sedang dijalankan.

Menurutnya, modus operasi mereka adalah dengan berpura-pura bertanyakan tentang beberapa barangan yang dipamerkan sebelum salah seorang daripada mereka mengambil beberapa barangan dan di letakkan di celah kangkang.

“Apabila melihat pekerja sibuk melayan dua suspek, seorang lagi pergi di rak yang jauh sedikit daripada kaunter dan mengambil beberapa barangan sebelum meletakkannya di celah kangkang.

“Suspek kemudiannya pergi ke bahagian lain sebelum melakukan aktiviti yang sama dengan mencuri beberapa barangan lain,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan diminta menghubungi bilik gerakan polis daerah di talian 09 848 2222.

“Dalam kejadian itu suspek tidak sempat mengambil barang lain kerana kegiatan mereka sudah dihidu pemilik kedai.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan,” katanya.

SinarHarian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*