Syukur, banjir di Kelantan semakin pulih

HANYA tinggal 62 mangsa banjir di Kelantan yang menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3 petang berbanding 551 pada jam 9 pagi, hari ini.

Mereka terdiri daripada 16 keluarga membabitkan 30 dewasa dan 32 kanak-kanak.

Kesemuanya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, Pengkalan Kubor, Tumpat susulan rumah masih digenangi air.

Tiga PPS di Pasir Mas yang menempatkan 516 mangsa sebelum ini sudah ditutup sepenuhnya.

Manakala sebuah keluarga di PPS SK Bunohan sudah mendaftar keluar.

Banjir melanda Kelantan sejak minggu lalu semakin pulih dengan mangsa yang masih kekal di PPS disebabkan banjir termenung.

Portal eBanjir Kelantan turut merekodkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang menurun kepada 8.49 meter berbanding 8.60 meter, jam 8 pagi tadi, namun masih dalam paras amaran.

Turut dalam paras sama adalah Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai dengan bacaan 35.53 meter.

Sementara amaran cuaca (waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada Isnin masih diguna pakai dengan hujan lebat dijangka di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang dan Pasir Puteh dalam tempoh Khamis hingga Ahad (10 Disember).

MyMetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*