Sindiket jual MC palsu tumpas….

SINDIKET menjual sijil cuti sakit (MC) palsu yang aktif di Melaka tumpas apabila dua lelaki termasuk seorang pelajar kolej ditahan di Peringgit, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Sun Teoh Tia berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri berjaya menahan seorang pelajar kolej, kira-kira jam 9 malam.

Beliau berkata, sijil palsu itu menyerupai sijil cuti sakit asal yang dikeluarkan Klinik Kesihatan Peringgit selain turut menggunakan nama doktor wanita di klinik berkenaan.

“Tangkapan pertama dibuat di depan sebuah stesen minyak ketika remaja lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai sedang menunggu pembeli.

“Hasil pemeriksaan dijalankan polis menemui lima keping sijil cuti sakit palsu daripada suspek.

“Susulan tangkapan pertama itu, polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 21 tahun dipercayai ketua sindiket, kira-kira jam 10.30 malam,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan di rumah suspek kedua, polis menjumpai 10 keping sijil cuti sakit palsu serta pelbagai peralatan termasuk cap dan pencetak digunakan untuk menghasilkan sijil palsu itu.

“Siasatan awal mendapati suspek kedua mencetak sijil cuti sakit palsu itu sebelum diedarkan kepada beberapa individu dengan harga RM10 sebelum individu berikutnya akan menjualnya dengan harga RM35 kepada pelanggan berminat,” katanya.

Katanya, sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak Jun lalu selain didakwa sudah menjual kira-kira 300 keping sijil cuti sakit palsu.

“Kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan,” katanya.

MyMetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*