GEMPAR!!! Kanak-kanak tersepit kepala di katil urut

Tindakan seorang kanak-kanak perempuan yang memasukkan kepalanya ke dalam lubang katil urut mengundang padah apabila kepalanya tersangkut hampir setengah jam sebelum dapat dikeluarkan di Johor Bahru semalam.

Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Mohd Shahlan Amrin berkata kejadian berlaku di kedai spa yang diusahakan ibu mangsa di Kampung Melayu, Kayu Ara, dekat Pontian.
Keluarganya memanggil pihak bomba pada kira-kira 4 petang setelah mereka gagal mengeluarkan kepala kanak-kanak berusia dua tahun itu.

“Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan bermain dengan adik perempuannya dengan masing-masing memasukkan kepala di dalam lubang tersebut.

“Adiknya dapat mengeluarkan kepalanya, tetapi kepala mangsa tersangkut,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Shahlan berkata bomba terpaksa membesarkan lubang katil berkenaan untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.
Mangsa, bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan, katanya.

Dua beradik maut

Sementara itu, dua beradik yang sedang dalam perjalanan menghantar barang ke rumah bapa saudara di sebuah ladang kelapa sawit maut apabila kereta yang dinaiki terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Teniku, Ladang Woodman petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian pukul 1.45 petang itu, kedua-dua mangsa iaitu Gabriel Bryan Wilson, 23, dan adiknya Gary Neville Wilson sedang dalam perjalanan dari Permyjaya ke Ladang Woodman yang perlu menyeberangi sungai.

“Kereta kancil yang dipandu Gabriel dipercayai tidak sempat dibrek semasa melalui feri oleh mangsa lalu terlajak ke dalam Sungai Teniku, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, mangsa pertama iaitu Gary ditemukan di lokasi kejadian pada pukul 5.01 petang manakala mangsa kedua Gabriel ditemukan pada pukul 5.27 petang.

– Bernama/MalaysiaKini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*