8 Tips Penjagaan Luka Selepas Sunat

1. REHAT YANG CUKUP
Selepas sunat, adalah penting untuk anda dapatkan rehat yang cukup, sekurang-kurangnya 3 hari untuk lelaki dewasa sebelum bertugas semula seperti biasa. Banyak berjalan sejurus selepas sunat boleh menyebabkan bengkak pada kawasan luka.

2. MAKAN UBAT
Anda akan diberi ubat penahan sakit, antibiotik (pembunuh kuman), ubat bengkak untuk dimakan dan krim antibiotik untuk disapu. Sila makan ubat tersebut mengikut jadual yang ditetapkan, supaya luka tersebut cepat sembuh dan jangkitan boleh dielakkan.

3. CUCI LUKA
Cuci luka sunat sewaktu mandi, dua kali sehari dengan cecair antiseptik seperti Dettol. Selepas cuci, lapkan luka dengan tisu atau kain yang kering dan bersih. Sapukan krim antiseptik yang diberi untuk mengelakkan dari jangkitan kuman.

4. PANTANG MAKAN
Adalah bagus sekiranya anda dapat berpantang makan. Makanan yang “gatal” seperti makanan laut, daging merah, telur dan apa-apa juga yang anda “alergik” adalah tidak digalakkan untuk ambil sewaktu penjagaan luka sunat.

5. MAKANAN YANG DISYORKAN
Kalau ikutkan petua orang dulu-dulu, ikan haruan adalah bagus untuk penyembuhan luka. Jika tidak mahu beli dan siang ikan haruan yang hidup, anda boleh dapatkan pati ikan haruan dari farmasi. Pati ayam pun bagus untuk diambil.

6. JANGAN CABUT BENANG
Benang jahitan luka sunat akan putus selepas 10-14 hari. Jangan gunting atau putuskan benang luka sunat terlalu awal, kerana ia akan menyebabkan luka sunat tidak dapat melekat dan sembuh sempurna.

7. CECAIR KUNING DI KEPALA
Jika anda mengalami phimosis (glans penis melekat dengan kulup), anda mungkin akan mendapati ada cecair kuning jernih dan keruping terbentuk di kepala dan kawasan luka. Ia adalah normal dan ia bukan nanah. Ia akan tanggal sendiri selepas beberapa hari.

8. RASA NGILU/SENSITIF
Adalah agak normal untuk anda berasa ngilu atau sensitif apabila kepala glans penis anda bergesel dengan seluar dalam yang dipakai pada awalnya. Rasa tersebut akan hilang selepas beberapa minggu, apabila glans kepala sudah biasa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*